MEDIA PENGAJARAN
Pengenalan
Tajuk ini mengandungi konsep teknologi, konsep pengajaran, konsep teknologi pengajaran, peranan teori pembelajaran, mengenalpasti domain teknologi pengajaran, dan menjelaskan fungsi domain tersebut.
Tajuk ini juga membincangkan hubungkait konsep-konsep di atas.
Hasil Pembelajaran
- Setelah selesai mengikuti modul ini, diharap anda dapat:
- Mengaitkan peranan teori pembelajaran dalam teknologi pengajaran.
- Mengenal pasti domain teknologi pengajaran.
- Menghuraikan peranan dan kepentingan teknologi pengajaran
- Konsep dan Definisi Media Pengajaran
Media pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadi proses pembelajaran.
Dari sudut penggunaan media pengajaran, Ngui Kuan Sang (1989), berpandangan bahawa ia adalah satu pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pendengaran seseorang serta teknik-teknik pengajaran, termasuk proses pengalaman, persediaan dan perasaan. Ini bermakna ia adalah satu proses pengalaman yang total.
Percival & Elington (1984) Percival & Ellington (1984) telah mengkategorikan media dalam dua bentuk:
- Pelbagai Alatan Fizikal Teknologi Pendidikan. – perkataan bercetak, filem, pita, piring hitam, filem, slaid, gambar, perakam, slide dan kombinasi di antaranya.
- Pelbagai Saluran Komunikasi Massa. – surat khabar, radio dan televisyen Media dalam pengajaran merujuk kepada alaatn atau teknik yang berupaya menyalurkan mesej pengirim kepada penerima mesej sehingga mendorong dan merangsang pemikiran, perasaan, minat dan perhatian penerima.
Media dalam pengajaran berperanan sebagai penghubung antara guru dan pelajar dan pelajar dengan pelajar. Ia juga menyampaikan isi kandungan dengan berkesan serta menyeronokkan dan bermakna. Hal ini demikian dengan penglibatan pelbagai deria.
- Jenis Dan Klafikasi Media Pengajaran
Pengkelasan Media Pengajaran
Bil | Media Visual | Contoh |
1 | Media Tayang Kaku | Tranparensi, slaid & mikrofilem
|
2 | Media Tayang Bergerak | Pita video, cakera padat digital & filem |
3 | Bahan Grafik | Lukisan, poster, kartun, carta & graf |
4 | Gambar Kaku | Gambar foto, kad imbasan & poskad |
5 | Bahan Pameran 3D | Model, boneka, diorama & puppet |
6 | Papan Pameran | Papan kapur, papan putih, papan flanel & papan buletin |
7 | Media Audio | Pita kaset, cakera padat & computer |
8 | Media Cetak | Modul, buku teks, akhbar, majalah & risalah |
- Fungsi Media dalam Pengajaran dan Pembelajaran
2.1 Memperjelaskan Penyampaian Mesej.
Adalah lebih berkesan jika perkataan disertakan dengan gambar atau simbol yang lebih konkrit maknanya. Dengan media, segala simbol, verbal yang abstrak, dapat dijelaskan. Dengan teknologi komputer, penjelasan lebih berkesan dan menarik seperti penggunaan animasi, bunyi dan muzik.
2,2 Mengatasi Batasan Ruang, Waktu dan Pancaindera, contoh;
- Objek yang terlalu besar atau kecil boleh digantikan dengan model, gambar, transparensi, filem atau video.
- Gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography.
- Kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem, gambar foto atau pun lisan.
- Objek yang terlalu kompleks dapat ditunjukkan dalam bentuk model, gambar rajah dll. v. Konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan.
2,3 Penggunaan Media Pengajaran Secara Betul dan Bervariasi, akan dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia boleh menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar boleh belajar kendiri.
- Pengajaran Bersama Pengajar
Ini adalah penggunaan media yang paling biasa di mana ia membantu pengajar melaksanakan pengajarannya secara langsung (live). Keberkesanan media dalam konteks ini bergantung kepada bagaimana pengajar itu menggunakan media tersebut tidak kira sama ada media itu dipilih daripada sesuatu koleksi atau disediakan oleh beliau sendiri.
- Pengajaran Tanpa Bergantung Kepada Pengajar
Media boleh digunakan secara berkesan tanpa kehadiran pengajar, sama ada kerana pengajar tidak ada atau sedang membantu pelajar lain. Ini tidak bermakna pelajar belajar tanpa panduan. Pelajar dibimbing oleh pereka media tersebut seperti mana penulis membimbing anda mempelajari modul ini dan pengajaran jenis ini dikenali sebagai pengajaran kendiri. Media yang digunakan dalam situasi ini biasanya dipakej dengan sempurna, iaitu menerangkan dengan jelas tentang tujuan, objektif, cara mengguna dan menilai pencapaian sendiri. Pengajaran seperti ini tidak berhasrat untuk menggantikan tugas guru. Sebaliknya, dengan cara ini guru boleh menjadi pengurus yang lebih cekap dan kreatif, tidak hanya sebagai penyampai maklumat semata-mata.
- Penggunaan Media Pengajaran Secara Betul dan Bervariasi
Penggunaan media pengajaran secara betul dan bervariasi dapat mengatasi sikap pasif pelajar kerana ia menimbulkan minat, meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang realiti. Pelajar juga boleh belajar sendirian, menurut kemampuan dan keselesaan masing-masing.
- Pengalaman dan Persepsi yang Sama
Walaupun kurikulum dan bahan pengajaran ditentukan sama bagi setiap pelajar, sifat unik yang ada pada setiap pelajar, ditambah dengan persekitaran yang berbeza membuatkan guru mengalami kesulitan. Keadaan ini dapat diatasi dengan media pengajaran kerana kemampuannya dalam memberikan rangsangan pengalaman dan persepsi yang sama. Misalnya, sebuah perisian kursus boleh digunakan berulang kali oleh pelajar tanpa merosakkan kandungan asal. Belajar secara berulang kali ini membantu pelajar membentuk persepsi yang sama dan tepat tentang sesuatu konsep atau prinsip.
- Pengajaran Tematik (Thematic)
Pengajaran jenis ini berfokus kepada sesuatu tajuk yang dipilih atau ditentukan oleh guru. Ia bermula dengan “perkongsian pengalaman” yang diperolehi mungkin daripada tayangan video, lawatan ke muzium atau mendengar ceramah. Kemudian, diikuti dengan “perkongsian kepakaran” di mana pelajar secara bekerjasama mengumpulkan data dan maklumat, menganalisis data tersebut dan akhirnya menggariskan kesimpulan. Suatu laporan dikeluarkan dan dibentangkan untuk dikongsi oleh semua murid di dalam kelas. Tema yang biasa dilaksanakan adalah seperti sejarah sukan Olimpik, sejarah tempatan, industri tempatan dan sebagainya.
- Pendidikan Jarak Jauh (PJJ)
Pendidikan jarak jauh (PJJ) bukan suatu yang asing lagi bagi pelajar di Malaysia. Ia kini berkembang luas dan menjadi tapak bagi menyediakan peluang belajar pelbagai bidang ilmu kepada semua orang. Media yang digunakan merangkumi media cetak dan elektronik. Telekonferensi membolehkan pelajar dari pelbagai tempat bertemu dan berbincang secara maya. Ruangan berbual, papan buletin dan listserv turut menyokong komunikasi pembelajaran jenis ini.
- Pendidikan bagi Pelajar Istimewa
Media memainkan peranan yang besar di kalangan pelajar yang kurang upaya. Pelajar pekak misalnya memerlukan bahan pembelajaran yang berbeza daripada pelajar normal. Teknologi masa kini telah menyediakan peralatan yang bersesuaian dengan mereka yang kurang berupaya/kecacatan.